Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Unit Rawatan Rapi Medan ICU yang sedang dibina di Hospital Kepala Batas (HKB), di sini dijangka beroperasi Sabtu ini.

Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan Leftenan Kolonel Dr Mohd Zamri Derahman berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk mempercepatkan operasi ICU berkenaan dalam usaha memberi perkhidmatan kepada pesakit kritikal Covid-19 di negeri ini.

"Namun, ia bergantung kepada persiapan kemudahan bekalan air, elektrik dan sebagainya.

"Apa-apa pun kita akan cuba buat secepat yang mungkin," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai ICU Medan berkenaan, Dr Mohd Zamri berkata, pembinaan ICU di HKB adalah berkonsepkan hibrid.

Katanya, ia adalah konsep julung kali diperkenalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menggunakan empat kontena sebagai bilik rawatan dan kemudahan utama.

"Sebelum ini di beberapa negeri lain kita menjadikan dewan atau balai raya untuk membuka hospital medan dalam usaha merawat pesakit Covid-19.

"Berbeza di Pulau Pinang, ini adalah pertama kali dalam sejarah ATM apabila kita menggunakan konsep hibrid iaitu menjadikan kontena sebagai bilik rawatan," katanya.

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan persiapan mendirikan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) secara 'ICU medan' di Hospital Kepala Batas di sini.  FOTO DANIAL SAAD
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan persiapan mendirikan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) secara 'ICU medan' di Hospital Kepala Batas di sini. FOTO DANIAL SAAD

Dr Mohd Zamri berkata, sebuah kontena akan dijadikan bilik X-Ray manakala tiga kontena akan menempatkan 12 katil.

"Baki 15 katil lagi akan ditempatkan di tiga khemah khas yang akan dibina berdekatan menjadikan jumlah keseluruhan untuk merawat pesakit adalah sebanyak 27 katil.

"Terdapat lima pegawai perubatan termasuk dua pakar bius dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan dan 30 anggota perubatan ATM ditugaskan menguruskan pesakit Covid-19 di sini," katanya.

Difahamkan, seramai 40 anggota ATM dari Kluang, Johor dan Sungai Petani, Kedah memulakan kerja-kerja pemasangan ICU Medan berkenaan kira-kira jam 8 pagi, hari ini.

Proses pembinaannya sebagai persediaan bagi menampung kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang yang sudah meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 2:37 PM