Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah menerima 377 permohonan untuk mengisi pelbagai kategori petugas kesihatan secara kontrak sejak 21 Jun lalu hingga kini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, permohonan itu bagi membantu operasi Hospital Medan yang dibina ATM.

Beliau berkata, Hospital Medan dan Unit Rawatan Rapi (ICU) Medan dibina bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani situasi Covid-19 yang meningkat di negara ini dan ia memerlukan ATM penambahan sumber manusia daripada kalangan profesional kesihatan.

"Permohonan yang diterima adalah 24 doktor atau pegawai perubatan berbanding keperluan 30 orang, seorang penolong pegawai perubatan gred U41/44/48 (keperluan tiga), 59 penolong pegawai perubatan gred U29 (keperluan 30), 48 jururawat terlatih gred U29 (keperluan 30), 14 pegawai farmasi gred UF41/44/48 (keperluan dua), 120 penolong pegawai farmasi (keperluan lima), 41 penolong pegawai kesihatan persekitaran gred U29 (keperluan 10) dan 71 paramedik gred U29 (keperluan 20).

"Mereka akan dilantik secara kontrak selama setahun dengan kelayakan menerima manfaat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan sesi ramah mesra dengan calon pegawai dan kakitangan perubatan kontrak Kumpulan 1, di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini, hari ini.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Pegawai dan kakitangan perubatan itu dilantik secara kontrak bagi meningkatkan kesiagaan perkhidmatan kesihatan ATM dalam membendung wabak Covid-19.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, ATM bercadang membina empat lagi Hospital Medan.

Buat masa ini katanya, ATM sudah menubuhkan lima Hospital Medan iaitu di Tawau, Kapit, Kepala Batas, Hospital Sultanah Aminah Johor Bharu dan Dewan Perbadanan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Kita akan menunggu cadangan lokasi daripada KKM untuk membina empat lagi Hospital Medan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 4:46 PM