Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebanyak 64 katil disediakan bagi merawat pesakit Covid-19 di Hospital Medan yang sedang disiapkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah ( HSA) di sini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, membabitkan 60 katil bagi merawat pesakit Covid-19 tahap tiga dan empat manakala empat katil khas untuk Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, Hospital Medan terbabit dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada Khamis ini dengan sesi latihan awal dilakukan pada Selasa ini.

"Oleh kerana kes Covid-19 masih lagi tinggi di Johor ada kemungkinan berlaku kekurangan katil terutama di ICU. Oleh itu, Kementerian Kesihatan (KKM) berbincang dengan ATM untuk bantu menambah bilangan katil di HSA.

"Rancangan pembabitan anggota ATM bagi membantu KKM dalam mengoperasikan Hospital Medan ini membabitkan seorang komander Hospital Medan iaitu Mejar Dr Khir Reza dengan dibantu oleh tiga pegawai dan 30 anggota perubatan ATM lain-lain pasukan," katanya kepada pemberita selepas meninjau pembinaan Hospital Medan di HSA di sini, hari ini.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) mendengar penerangan dari Komander Hospital Medan ATM Hospital Sultanah Aminah Mejar Dr Mohd Khair Rezza Rahimi (depan kanan) ketika melawat ke Hospital Medan ATM di pekarangan Hospital Sultan Aminah hari ini. FOTO Bernama
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) mendengar penerangan dari Komander Hospital Medan ATM Hospital Sultanah Aminah Mejar Dr Mohd Khair Rezza Rahimi (depan kanan) ketika melawat ke Hospital Medan ATM di pekarangan Hospital Sultan Aminah hari ini. FOTO Bernama

Sementara itu, Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Markas ATM, Brigedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen berkata, pemasangan khemah dan penyusunan aset di Hospital Medan di Johor Bahru berjaya dilakukan dalam tempoh empat hari sahaja.

"Hospital Medan di Johor Bahru ini adalah kompleks khas yang menggunakan khemah medan yang akan menempatkan 60 pesakit kategori tiga dan empat selain empat katil pesakit ICU pada permulaannya.

"Keupayaan Hospital Medan ini boleh ditingkatkan hingga 100 katil bagi pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat begitu juga katil ICU boleh ditingkatkan kepada enam sehingga 12 katil, jika keadaan memerlukan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini gerak kerja ATM membantu KKM menyelaras fasiliti kesihatan sejak bermula pandemik Covid-19 tahun lalu.

Katanya, gerak kerja ATM membabitkan lima lokasi termasuk Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, membabitkan penyediaan aset dan logistik.

"Selepas itu ATM membina Hospital Medan di Tawau, Sabah diikuti Hospital Medan Penjara Pokok Sena, Kedah yang dikhususkan untuk banduan.

"ATM juga membangunkan Hospital Medan di Kapit, Sarawak, khusus untuk pesakit bukan Cobid-19 dan Hospital Medan Kepala Batas, Pulau Pinang, khusus untuk ICU pesakit Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 3:50 PM