HOSPITAL medan yang akan beroperasi mulai 17 Jun 2021 di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
HOSPITAL medan yang akan beroperasi mulai 17 Jun 2021 di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Penubuhan Hospital Medan Angkatan Tentera (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) mampu membantu meningkatkan kapasiti katil Covid-19 di Johor Bahru.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hospital medan di HSA itu adalah yang keenam dibina dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menampung kapasiti hospital dan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Johor Bahru.

"Hospital Medan ATM di HSA JB ini mempunyai empat katil ICU dan 60 katil wad untuk pesakit kategori 3 dan 4. Ia dijangka bermula (beroperasi) 17 Jun ini.

"Pengoperasian hospital ini akan membantu meningkatkan kapasiti katil wad Covid-19 dan ICU di negeri Johor khususnya di Johor Bahru. Terima kasih diucapkan kepada yang sentiasa memberikan bantuan kepada KKM dalam perjuangan kita melawan Covid-19 ini," katanya dalam Facebook, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, tengah hari ini pihaknya turut menerima lawatan dan tinjauan daripada Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di hospital medan berkenaan.

Mengenai penggunaan katil di wad dan ICU di negeri berkenaan, Dr Noor Hisham berkata, penggunaan katil wad di hospital khusus bagi merawat pesakit Covid-19 di Johor Bahru kini sudah mencapai tahap 92 peratus.

"Bagi penggunaan katil di wad ICU di hospital milik KKM di negeri terbabit pula sudah mempunyai pengisian melebihi 70 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 4:17 PM