Sebuah premis kilang yang diubah suai menjadi bilik hiburan di Jalan Ding
Sebuah premis kilang yang diubah suai menjadi bilik hiburan di Jalan Ding
Norsyazwani Nasri


Sibu: Sebuah kilang yang diubah suai menjadi pusat hiburan di Jalan Ding Lik Kong di sini, diserbu polis malam tadi menyaksikan sembilan individu ditahan.

Enam lelaki tempatan dan tiga wanita warga Vietnam berusia antara 17 hingga 25 tahun itu ditahan ketika sedang leka berhibur ketika diserbu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu jam 11.25 malam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, premis hiburan itu terletak dalam bangunan kilang dua tingkat dan ketika serbuan dijalankan pagar utama terbuka. Katanya, pemeriksaan lanjut di tingkat bawah premis terbabit menemukan sebuah pintu besi dalam keadaan terbuka.

"Pemeriksaan mendapati bilik berkenaan diubah suai menjadi pusat hiburan lengkap dengan set karaoke, meja, kerusi, lampu dan minuman keras.

"Malah semua yang ditahan sedang berhibur dengan muzik yang kuat ketika serbuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati semua wanita warga Vietnam berkenaan memiliki dokumen perjalanan tamat tempoh.

"Mereka mengaku datang ke situ untuk berhibur memandangkan semua pusat hiburan di Sibu ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000 kerana berhibur di premis yang tidak mempunyai lesen hiburan yang sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Selain itu, mereka turut disiasat atas kesalahan mengikut Peraturan 19(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 4) 2021 kerana melakukan aktiviti terlarang iaitu berhibur di pusat hiburan," katanya.

Katanya, wanita asing yang tamat pas lawatan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen Malaysia 1959/63.

"Kesemua yang ditahan turut menjalani ujian saringan Covid-19 di hospital Sibu dan keputusan adalah negatif.

"Semua suspek lelaki direman mulai hari ini manakala suspek wanita direman sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati) sehingga 3 April ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 5:43 PM