GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 26 individu termasuk remaja bawah umur yang sedang leka berhibur di sebuah pusat hiburan di Nusa Bayu, Gelang Patah, di Iskandar Puteri, dikompaun RM1,000 berikutan ingkar mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam serbuan kira-kira 12.30 tengah malam tadi, didapati 23 lelaki, dua wanita dan seorang wanita warga Indonesia sedang berhibur di dalam premis berkenaan dan meminum minuman keras.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata serbuan itu dijalankan sepasukan anggota Balai Polis Gelang Patah selepas menerima maklumat awam.

"Pemeriksaan ke atas premis hiburan berkenaan juga mendapati ia gagal mengemukakan lesen hiburan selain tidak mengikut SOP.

"Kesemua tangkapan berumur lingkungan 16 hingga 36 tahun dengan 11 daripada 26 suspek diperiksa memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan juga dadah.

"Bagaimanapun ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kesemua tangkapan negatif dadah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, wanita warga Indonesia yang ditahan akan disiasat selanjutnya dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imegresen.

"Manakala 25 suspek lagi ditahan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor (ENJ), Seksyen 25(1) AktaPendaftaran Negara dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

"Polis juga meminta orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan juga pelanggaran SOP semasa PKPP kepada pihak berkuasa untuk kita ambil tindakan selanjutnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 3:15 PM