ANTARA yang ditahan dalam serbuan semalam. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA yang ditahan dalam serbuan semalam. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: Pengurus dan tujuh pengunjung sebuah pusat hiburan di Sungai Way, di sini, dikenakan kompaun RM60,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, serbuan jam 3 petang dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Petaling Jaya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas premis itu mendapati pengurus iaitu wanita berusia 40 tahun gagal mengemukakan lesen perniagaan minuman keras bagi tahun ini dan beroperasi dalam tempoh PPN Fasa Satu.

"Sembilan botol minuman keras pelbagai jenama dirampas malah semasa serbuan dijalankan, terdapat tujuh pelanggan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20 tahun sehingga 50 tahun sedang berhibur di dalam premis itu.

"Turut ada di dalam premis terbabit tiga pekerja warga asing di mana pengurus dan pelanggan dikompaun kerana tidak mematuhi SOP PPN Fasa Satu.

"Pengurus pusat hiburan dikompaun RM25,000 kerana melakukan kesalahan mengikut peraturan peraturan 17(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, tujuh pelanggan itu pula dikompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17(1) PPPPB 2021 kerana mengunjungi pusat hiburan.

"Kesemua mereka menjalani ujian saringan air kencing di mana dua pelanggan berusia 22 dan 25 tahun didapati positif dadah syabu dan ketamin.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya hari ini," katanya.

Beliau berkata, pengurus terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63.

"Manakala tiga pekerja warga asing ditahan mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 10:11 PM