NURSAZZEY Shazmika (dua kanan) bersama Irfan (kanan) dan dua lagi adik-beradik melihat gambar ibu bapa mereka yang meninggal dunia bersama seorang lagi adiknya dalam kemalangan, Mac lalu. FOTO Yun Mikail
NURSAZZEY Shazmika (dua kanan) bersama Irfan (kanan) dan dua lagi adik-beradik melihat gambar ibu bapa mereka yang meninggal dunia bersama seorang lagi adiknya dalam kemalangan, Mac lalu. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail


Putatan: "Irfan rindukan mummy… rindu masakan ayam kicap mummy, rindu usikan daddy.

"Raya kali ini pertama kali tidak dapat makan masakan mummy," katanya Mohd Irfan Itihsyam Mazlan, 10, sambil menitiskan air mata.

Ditemui di kediaman keluarganya baru-baru ini, Irfan turut menyatakan kerinduan ke atas kakak keduanya yang meninggal dunia bersama ibu dan bapa dalam kemalangan di Kilometer 42 Jalan Kimanis-Keningau, 31 Mac lalu.

Mohd Irfan yang juga anak tuggal lelaki dalam keluarga menyatakan arwah ibunya memang dikenali pandai memasak dan membuat kuih.

Menurutnya, antara menu kegemaran sama ada bukan ketika musim perayaan atau sambutan Aidilfitri adalah ayam masak kicap, soto dan mee kari.

Mengimbau kembali detik hitam membabit dalam kemalangan yang meragut nyawa tiga ahi keluarga, Mohd Irfan menyatakan mereka sekeluarga mengikuti bapanya yang bertugas sebagai pemandu lori penunda ke Keningau untuk mengambil kenderaan rosak untuk dibawa ke Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, Mohd Irfan menyatakan kenderaan dipandu bapa dipercayai mengalami masalah brek sebelum terbabas sendiri di Jalan Kimanis-Keningau kira-kira jam 10 malam.

"Kami semua tercampak keluar dan hanya saya serta dua lagi adik yang masih sedar selepas itu.

"Walaupun sekeliling berada dalam keadaan gelap, saya tetap menggagahkan diri untuk cuba menahan kereta yang lalu untuk meminta pertolongan. Syukur ada orang yang sanggup berhenti ketika itu," katanya.

Dalam pada itu, kakak sulung, Nursazzey Shazmika Mazlan, 15, memaklumkan hasrat menemani ibu bagi membeli baju raya buat adik-adik pada tahun ini tidak kesampaian kerana ibu pergi buat selamanya.

"Mummy ada cakap tahun ini sebelum bulan Ramadan dia mahu membeli baju raya sama-sama.

"Ia adalah rutin kakak bersama mummy setiap tahun. Hanya kami berdua pergi ke kedai untuk membeli baju raya buat adik-adik," katanya sebak.

Dalam kemalangan itu suami, isteri dan anak perempuan maut manakala empat lagi anak pasangan itu cedera selepas lori penunda terbabas.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 1:39 PM