GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Semua perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang tersenarai di bawah sistem Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan beroperasi seperti biasa.

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan memaklumkan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) yang terbabit ialah LRT KLCC, LRT Masjid Jamek dan KL Sentral.

Katanya, perkhidmatan pengangkutan awam penting terutama kepada petugas barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Justeru semua stesen pengangkutan awam perlu terus beroperasi bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlakunya kecemasan.

"Stesen pengangkutan ini juga dilengkapi dengan alat pengimbas suhu selain penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Bagaimanapun katanya, premis perniagaan di stesen yang terbabit akan ditutup selama tiga hari bermula hari ini sehingga 11 Mei ini mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, sebarang penutupan atau pembukaan semula premis perniagaan tertakluk kepada arahan MKN dari semasa ke semasa.

"Kementerian Pengangkutan mengingatkan semua pengguna pengangkutan awam untuk terus mematuhi SOP di semua stesen dan terminal.

"Ini termasuk menggunakan cecair pembasmi kuman atau 'hand sanitizer', memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal sebaik mungkin serta mengimbas kod MySejahtera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 10:59 AM