ORANG ramai membeli-belah di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
ORANG ramai membeli-belah di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, malam tadi. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di kawasan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diarah tutup bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bazar Ramadan yang tersenarai dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) akan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa meneliti prosedur operasi standard (SOP) dan sekiranya berlaku pertambahan kes harian, kerajaan akan mendapatkan nasihat dan penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan SOP diperketatkan.

"Ini kerana, trend kes dalam negara semakin membimbangkan ditambah pula dengan penemuan varian baru Covid-19 sehingga menyebabkan beberapa negeri dilaksanakan PKP secara bersasar antaranya Kedah, Selangor, Johor dan terbaru Pulau Pinang serta Pahang.

"Pelaksaan PKP ini dibuat berpandukan sistem amaran awal iaitu HIDE yang dibangunkan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan KKM.

"Ini bermakna, sekiranya sistem HIDE mengesan sesuatu lokaliti itu merekodkan penularan kes, kerajaan akan membuat penilaian risiko bersama KKM untuk menutup sementara lokaliti itu bagi membolehkan PKP dilaksanakan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, premis tersenarai dalam sistem HIDE kerana dikenalpasti sebagai lokasi berisiko kepada penularan kes Covid-19 akan diarahkan ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, bagi memastikan tiada kekeliruan segala keputusan dan pengumuman pelaksanaan PKP akan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan selepas ia diputuskan dalam sidang mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, beliau memaklumkan aktiviti sukan dan rekreasi individu serta tidak bersentuhan fizikal dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1.5 meter di kawasan terbuka dibenarkan bagi tujuan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 7:16 PM