KEADAAN lengang di sekitar pusat beli-belah utama di ibu kota yang diarah tutup serta merta.
KEADAAN lengang di sekitar pusat beli-belah utama di ibu kota yang diarah tutup serta merta.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kesibukan umat Islam membuat persiapan saat akhir untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi terbantut apabila banyak premis perniagaan termasuk pusat beli-belah utama diarah tutup serta-merta susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Keputusan itu menimbulkan kekecewaan berganda buat orang ramai apabila sebelum ini kerajaan sudah pun mengeluarkan larangan rentas negeri, sekali gus tidak membenarkan perantau pulang berhari raya di kampung halaman.

Malah, bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di seluruh negara turut diarah tutup bermula hari ini.

Peniaga mengakui perniagaan mereka pada tahun ini mengalami kerugian sehingga 50 peratus disebabkan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan penutupan operasi lebih awal.

Terdapat juga peniaga yang pasrah dengan arahan itu dan melakukan lelongan barangan manakala peniaga makanan pula mengambil pendekatan bersedekah.

Bukan itu sahaja, hampir semua pusat beli-belah di seluruh negara ditutup susulan analisis sistem Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (Hide) menunjukkan berlaku penularan Covid-19 untuk tempoh tujuh hari.

Arahan penutupan selama tiga hari oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu dikuat kuasa kepada premis tersenarai termasuk Jakel Mall, Sogo, Sungei Wang Plaza, Aeon Mall dan pelbagai lagi yang kebiasaannya menjadi tumpuan orang ramai mencari kelengkapan hari raya.

Tinjauan Harian Metro mendapati premis perniagaan berkenaan juga kelihatan lengang tanpa kehadiran pengunjung sedangkan ada sahaja orang ramai membanjiri Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, yang terletak berhampiran.

Penutupan premis itu turut menyebabkan pekerja tidak boleh bekerja sehingga ada antaranya berkongsi di laman sosial Facebook mengenai kekecewaan mereka.

Pasar Raya Besar Giant dan AEON BiG dalam kenyataan media memaklumkan bahawa semua cawangan yang tersenarai di bawah Hide ditutup selama tiga hari sebagai mematuhi arahan pihak berkuasa.

Sungei Wang Plaza di laman Facebook rasminya menyiarkan arahan MKN, begitu juga One Utama dan Sunway Pyramid mengumumkan penutupan untuk melakukan kerja pembersihan seperti diarahkan.

Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia, Persatuan Peruncit Malaysia, Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia dan Persatuan Peruncit Bumiputra dalam satu kenyataan bersama kelmarin mendesak supaya arahan penutupan itu ditarik semula.

Penutupan pasar raya besar itu memberi kelebihan buat peniaga kedai runcit apabila menerima jumlah pelanggan meningkat sehingga ada peniaga yang dikatakan menaikkan harga jualan barangan.

Kelmarin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memberitahu Hide mengesan pusat beli-belah di seluruh negara yang berisiko menjadi lokasi titik panas penularan Covid-19, sekali gus mewujudkan kluster baharu susulan analisis Hide untuk tempoh tujuh hari.

Giant, AEON BiG ditutup hingga esok

Kuala Lumpur: Pasar Raya Besar Giant dan AEON BiG yang berada di lokasi Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (Hide) ditutup bermula semalam hingga 11 Mei.

Menerusi kenyataan dikeluarkan semalam, Giant memaklumkan bahawa bagi mematuhi arahan pihak berkuasa, semua cawangan yang tersenarai di bawah Hide diarahkan untuk tutup selama tiga hari.

"Kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan berkaitan untuk memastikan kami menyediakan semua keperluan seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagi melakukan pembersihan sepenuhnya, tujuh cawangan Giant ditutup mengikut tempoh ditentukan," katanya.

Antara cawangan terbabit ialah Giant Hypermarket Bandar Kinrara, Giant Hypermarket Banting,Giant Hypermarket Klang, Giant Hypermarket Plentong, Giant Hypermarket Tampoi, Giant Superstore Nilai, Giant Supermarket Sungei Wang.

Sementara itu, AEON BiG dalam kenyataan semalam turut memaklumkan pelanggannya bahawa tujuh cawangan di senarai Hide ditutup selama tiga hari.

"Merujuk kepada pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mei, kami menutup pasar raya besar AEON BiG berada di lokasi Hide bermula 9 hingga 11 Mei (tiga hari sahaja).

"Kami akan melaksanakan proses sanitasi sepenuhnya di semua cawangan terbabit bagi memastikan keselamatan semua pekerja, penyewa, rakan kongsi dan pelanggan kami diutamakan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:40 AM