KL Sentral. FOTO Arkib NSTP
KL Sentral. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Semua perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang tersenarai di bawah sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) akan terus beroperasi.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, tiga stesen yang terbabit ialah LRT KLCC, LRT Masjid Jamek dan KL Sentral.

"Bagaimanapun semua premis perniagaan di stesen yang disenaraikan itu akan ditutup selama tiga hari dari 9 hingga 11 Mei mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang diumumkan semalam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

MOT berkata, sebarang penutupan atau pembukaan premis perniagaan ini adalah tertakluk kepada arahan MKN dari semasa ke semasa.

Katanya perkhidmatan pengangkutan awam sangat penting bagi negara, terutama bagi petugas barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Semua stesen pengangkutan awam perlu sentiasa dibuka bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlakunya kecemasan," katanya.

MOT berkata, stesen pengangkutan ini juga dilengkapi dengan alat pengimbas suhu di samping melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat.

Ia juga mengingatkan semua pengguna pengangkutan awam untuk terus mematuhi SOP termasuk penggunaan cecair pencuci tangan, memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengimbas kod QR MySejahtera.

Sistem HIDE yang dibangunkan bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kesihatan bertujuan memberi amaran awal dalam mencegah peningkatan jangkitan Covid-19 dengan menggunakan data daripada aplikasi MySejahtera, dan baru-baru ini ia mengeluarkan senarai premis atau lokasi yang dianggap berpotensi menjadi kluster sekiranya tiada tindakan awalan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 9:21 AM