Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor bermula 6 hingga 17 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam daripada sembilan daerah yang dilaksanakan PKP adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

"PKP bagi daerah terbabit akan berkuatkuasa 6 Mei sehingga 17 Mei manakala tiga daerah lagi iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dan bagi memutuskan rantaian jangkitan di Selangor yang mencatatkan kes harian yang tinggi sejak 20 April hingga 4 Mei lalu," katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Menurutnya, pergerakan merentas negeri dan daerah bagi enam daerah itu tidak dibenarkan kecuali urusan kecemasan, kematian dan kerja.

"Keputusan ini berdasarkan sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) yang dibangunkan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penularan jangkitan dan kes harian yang tinggi di Selangor," katanya.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) di enam daerah PKP adalah premis makanan seperti restoran, kendara saji, penjaja dan kiosk dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 12 tengah malam saja.

"Selain itu, kedai runcit, serbaneka dan keperluan harian serta farmasi juga dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 10 malam.

"Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi sehingga 10 malam, bagaimanapun stesen minyak di lebuh raya dibenarkan beroperasi 24 jam.

"Hospital, klinik dan makmal perubatan boleh beroperasi seperti biasa. Untuk operasi pasar harian, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 2 petang," katanya.

Ismail Sabri berkata, bazar Ramadan di kawasan PKP masih dibenarkan beroperasi mengikut SOP ketat.

"Bagaimanapun, keputusan untuk meneruskan ataupun menutup operasi bazar adalah tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya

GAMBAR fail. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail. FOTO Arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 5:37 PM