GAMBAR hiasan. FOTO Syafeeq Ahmad
GAMBAR hiasan. FOTO Syafeeq Ahmad
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tiga kampung di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan merekodkan peningkatan mendadak kes Covid-19.

PKPD di Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas akan mula berkuat kuasa pada Ahad ini sehingga 22 Mei.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD itu bagi memudahkan pengesanan awal kes dan mencegah penularan jangkitan ke kampung berhampiran.

"Sehingga kini sebanyak 120 kes positif direkodkan di tiga perkampungan berkenaan iaitu 42 kes di Kampung Paya Ular, Kampung Tualang (26 kes) dan Kampung Bechah Palas (52 kes).

"Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan berlaku peningkatan kes secara mendadak manakala kadar positiviti Covid-19 di tiga lokaliti itu adalah tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di Sekolah Menengah Sains Banting (SMSB), Kuala Langat; Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan dan Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah ditamatkan.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di dua sekolah berkenaan pada hari ini, manakala Kampung Muhibbah Raya, ditamatkan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 6:54 PM