FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seramai 118 penduduk di tiga kampung di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) disahkan positif Covid-19 setakat kelmarin.

Ia membabitkan 51 penduduk di Kampung Bechah Palas, 41 penduduk di Kampung Paya Ular dan 26 penduduk di Kampung Tualang.

Pada masa sama, tiga kematian direkodkan di mukim itu, masing-masing seorang di setiap kampung.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah mereka positif virus itu dikesan hasil saringan ke atas 1,478 penduduk.

"Kita menjangkakan proses ujian swab (calitan) membabitkan 1,885 penduduk selesai, hari ini untuk pusingan pertama.

"Keputusan ujian swab untuk 1,478 penduduk juga hampir kesemua sudah diperoleh dalam tempoh 48 jam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, setakat ini penduduk tiga kampung itu memberi kerjasama baik berdasarkan jumlah kehadiran bagi ujian calitan.

Media sebelum ini melaporkan, PKPD dilaksana di tiga perkampungan di mukim Bunut Susu, di Pasir Mas, bermula semalam sehingga 22 Mei, selepas berlaku penularan Covid-19 dan kes menaik mendadak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 1:42 PM