Zainab hanya beraya bersama suaminya dan seorang anak di pagi 1 Syawal di rumahnya di Kampung Tualang. FOTO IHSAN ZAINAB MOHAMED
Zainab hanya beraya bersama suaminya dan seorang anak di pagi 1 Syawal di rumahnya di Kampung Tualang. FOTO IHSAN ZAINAB MOHAMED
Siti Rohana Idris


Pasir Mas: "Aidilfitri kali ini sangat menguji, semua rutin 1 Syawal sebelum ini hanya mampu dikenang sahaja," kata Zainab Mohamed, penduduk Kampung Tualang, Bunut Susu, di sini, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 9 Mei lalu.

Zainab berkata, jika sebelum ini rumah kakak atau ibunya di kampung sama dijadikan tempat berkumpul ahli keluarga, tetapi kini semuanya sunyi seolah-olah tiada apa-apa sambutan.

"Selalunya rutin 1 Syawal kami akan ke madrasah untuk menunaikan solat sunat Aidilftitri sebelum ke menziarahi kubur dan ke rumah kakak atau mek untuk berkumpul.

"Kali ini semuanya berubah 100 peratus. Saya hanya meraikan hari raya bersama suami dan anak bongsu dalam rumah sahaja, malah untuk mengunjungi mek yang berada di belakang rumah juga tidak dibenarkan," katanya.

Pesara Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu berkata, mengikut perancangan asal, sambutan Aidilfitri kali ini tidak suram kerana dua lagi anaknya mungkin pulang beraya, sehinggalah PKPD dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, persediaan raya sudah dibuat walaupun mengetahui tidak boleh 'beraya sakan' tapi dia tetap membeli baju raya buat mereka sekeluarga termasuk sembilan cucunya secara dalam talian.

"Kami memutuskan untuk mengenakan baju raya sedondon iaitu berwarna kuning 'mustard' tahun ini dan semua baju yang dibeli sudah sampai beberapa hari sebelum PKPD termasuk untuk cucu tapi apakan daya, kita hanya merancang," katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata ini berkata, kerinduan sedikit terlerai apabila mereka sentiasa berhubung menerusi panggilan video dan memberikan kata-kata semangat.

"Walaupun Aidilfitri kali ini tidak meriah, saya bersama suami dan anak bongsu tetap juga menyarung baju raya yang sudah dibeli," katanya.

Selain Kampung Tualang, dua lagi lokaliti iaitu Kampung Paya Ular dan Bechah Palas yang berada dalam mukim Bunut Susu dikenakan PKPD bermula 9 Mei lalu sehingga 22 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 9:41 AM