GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Bharu: Seramai 235 penduduk dari Kampung Paya Ular, Kampung Tualang dan Kampung Bechah Palas, didapati positif Covid-19 dalam ujian saringan pertama yang dilaksanakan setakat hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ujian saringan pertama membabitkan 1,500 penduduk di tiga perkampungan dalam Mukim Bunut Susu di Pasir Mas yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selesai sepenuhnya pada minggu lalu.

"Daripada hasil saringan pertama itu, seramai 93 penduduk di Kampung Paya Ular positif Covid-19, Kampung Tualang (69 kes) dan Kampung Bechah Palas sebanyak 73 kes," katanya selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Gelanggang Seni, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan PKPD di tiga perkampungan berkenaan bermula 9 Mei hingga 22 Mei ini selepas menyaksikan kenaikan kes mendadak selain kadar positif jangkitan Covid-19 tinggi.

Dr Zaini turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang memperuntukkan lebih RM200,000 untuk membantu persiapan PKRC Gelanggang Seni yang mampu menempatkan seramai 140 pesakit pada satu-satu masa.

"Selain itu, kami juga ingin berterima kasih kepada Yayasan Noor Al-Syakur (YANAS) di atas sumbangan alatan klinikal selain peruntukan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melengkapkan PKRC ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, pihaknya giat memastikan rakyat negeri ini untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi program vaksinasi yang disediakan oleh kerajaan.

"Malah, jika mengikut kajian yang telah dilakukan KKM sebelum ini, sebanyak 83 peratus rakyat Kelantan telah bersetuju untuk menerima vaksin.

"Sekiranya melihat kepada peratusan itu, boleh dikatakan kesedaran dalam kalangan penduduk adalah tinggi, namun mungkin masih ada yang tidak berdaftar di MySejahtera dan lain-lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 6:14 PM