Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Sehingga petang semalam, kira-kira 500 kenderaan diarahkan berpatah balik ketika melalui tiga sekatan jalan raya utama untuk memasuki negeri ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, selain tiada surat kebenaran rentas negeri, pengguna jalan raya juga memberi alasan tidak munasabah.

Menurutnya lagi, seakan bertindak nekad, ada juga sebahagian perantau yang mencetak surat kebenaran rentas negeri yang dimuat turun menerusi laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) tanpa tandatangan serta cop kebenaran pihak berkuasa.

"Ramai yang diarahkan berpatah balik kerana tiada surat kebenaran rentas negeri, malah ada yang lebih berani apabila mencetak surat itu tanpa sebarang pengesahan (polis).

"Saya anggap tindakan itu sebagai cuba nasib, namun kita berjaya kesan cubaan itu sebelum mereka dikenakan kompaun dan diarahkan berpatah balik.

"Paling ramai diarah berpatah balik adalah di sekatan jalan raya sempadan Gua Musang dan Pasir Puteh," katanya kepada pemberita di sini, tengah malam tadi.

SHAFIEN (dua kiri) bersama pegawainya meninjau di dua sekatan jalan raya dalam mukim Bunut Susu sempena pelaksanaan PKPD membabitkan tiga kampung. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SHAFIEN (dua kiri) bersama pegawainya meninjau di dua sekatan jalan raya dalam mukim Bunut Susu sempena pelaksanaan PKPD membabitkan tiga kampung. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Dari segi jumlah kemasukan kenderaan ke Kelantan beberapa hari kebelakangan ini, berlaku peningkatan sebanyak tujuh peratus berbanding hari biasa walaupun negeri itu berstatus Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terdahulu, beliau membuat tinjauan di dua sekatan jalan raya dalam mukim Bunut Susu sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan tiga kampung iaitu Kampung Paya Ular, Tualang dan Bechah Palas yang berkuat kuasa tengah malam tadi sehingga 22 Mei.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir.

Shafien berkata, seramai 117 yang terdiri daripada anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terbabit dalam penugasan di 13 sekatan jalan raya sempena PKPD itu.

"Tiga lokaliti ini membabitkan kira-kira 1,800 penduduk iaitu 500 keluarga yang mana kami rasakan tugasan kali ini tidak semudah seperti sebelum ini kerana merangkumi kawasan yang luas.

"Kami juga sudah mengenal pasti sebanyak 30 laluan alternatif termasuk lorong tikus yang terdapat dalam kawasan ini namun yakin bahawa penduduk akan memberi kerjasama kepada pasukan petugas.

"Dalam masa yang sama, kami sangat mengharapkan agar penduduk membuat ujian calitan dengan segera kerana saya difahamkan mereka yang sudah tampil belum mencapai 50 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 8:59 AM