Anggota ATM membuat  kawalan keluar masuk penduduk di Jalan Kampung Paya Ular, Mukim Bunut Susu, Pasir Mas susulan dari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan tiga kampung iaitu Kampung Paya Ular, Tualang dan Bechah Palas berkuatkuasa 9 hingga 22 Mei bagi mengekang penularan COVID-19. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota ATM membuat kawalan keluar masuk penduduk di Jalan Kampung Paya Ular, Mukim Bunut Susu, Pasir Mas susulan dari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan tiga kampung iaitu Kampung Paya Ular, Tualang dan Bechah Palas berkuatkuasa 9 hingga 22 Mei bagi mengekang penularan COVID-19. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Kehadiran 1 Syawal yang berbaki empat hari bagai tiada makna buat kira-kira 1,800 penduduk Mukim Bunut Susu, di sini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Perancangan untuk berkumpul di pagi Aidilfitri bersama keluarga sambil menikmati juadah akhirnya tinggal angan-angan buat Saiful Anuar Mohamed, 35, dari Kampung Tualang, di sini.

Saiful berkata, sudah menjadi tradisi, mereka sekeluarga akan berkumpul di rumah kakaknya di kampung yang sama untuk meraikan Aifilfitri.

"Sebahagian besar ahli keluarga saya memang berasal dari daerah sama sekali gus tidak menimbulkan masalah untuk meraikan hari raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana tidak memerlukan pergerakan rentas daerah.

"Apabila dikenakan PKPD, bukan sahaja dari kampung sebelah, malah kami adik-beradik yang tinggal berjiran juga tidak dapat berkunjung dan diarahkan agar tidak keluar rumah.

"Tidak dinafikan rasa sedih tapi kami anggap ia ujian dan yang paling penting, kami akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan demi memutuskan rantaian wabak Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Saiful berkata, buat masa ini dia menetap bersama ibunya, manakala isteri dan anak perempuannya berusia lima tahun tinggal bersama ibu mentua di Kampung Kasar kerana isterinya bekerja di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Menurutnya, sejak tiga hari lalu sebaik laluan utama ditutup, dia sudah tidak bersemuka dengan isteri serta anak dan setiap hari mereka akan berhubung melalui panggilan video.

"Setiap kali buat panggilan video, anak perempuan akan menangis dan bertanya bila kami dapat berjumpa.

"Namun saya memujuknya dengan mengatakan sebaik PKPD tamat, saya akan terus menemui mereka," katanya.

Selain Kampung Tualang, Kampung Bechah Palas dan Paya Ular turut dikenakan PKPD yang bermula hari ini sehingga 22 Mei nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 3:59 PM