Zulhisyam menghantar bekalan lauk kepada  ibunya disekatan di Jalan Bunut Susu, Mukim Bunut Susu, Pasir Mas susulan dari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Zulhisyam menghantar bekalan lauk kepada ibunya disekatan di Jalan Bunut Susu, Mukim Bunut Susu, Pasir Mas susulan dari penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Siti Rohana Idris


Pasir Mas: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga kampung dalam mukim Bunut Susu berkuat kuasa tengah malam ini.

Tiga kampung yang dikenakan PKPD ialah Kampung Paya Ular, Tualang dan Bechah Palas bermula esok hingga 22 Mei ini.

Penduduk terpaksa meminta bantuan ahli keluarga dari luar kawasan PKPD untuk menghantar bekalan makanan.

Bagi Mohd Zulhisyam Sabri, 28, dia dihubungi ibunya, Nor Asiah Mat Yusof, 58, malam tadi meminta supaya menghantar bekalan lauk disebabkan hanya sempat membeli beberapa papan telur sahaja semalam.

Menurutnya, berikutan itu dia membelikan ayam mentah untuk ibu dan ayah serta dua adiknya yang tinggal di Kampung Bechah Palas.

"Hari ini saya dapat menghantar lauk untuk mak namun dipisahkan pita keselamatan malah langsung tidak boleh bersentuh apa lagi bersalam sebaliknya barangan diletakkan di atas kerusi yang disediakan sebelum diambil.

"Mak memberitahu setakat ini bekalan telur cukup untuk dimasak sebagai juadah berbuka puasa dan bersahur namun akan menghubungi saya semula jika memerlukan sebarang bantuan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Situasi yang sama dialami seorang buruh yang ingin dikenali sebagai Syafiq, 25, yang menghantar barang dapur buat isterinya yang juga tinggal di Kampung Bechah Semak iaitu kampung yang turut terkepung dalam mukim itu.

Menurutnya, memandangkan dia bekerja di Tendong, di sini, mereka suami isteri terpaksa 'berpisah' sementara dalam tempoh pelaksanaan PKPD.

"Sebelum ini saya berulang alik di rumah mentua dan rumah ibu bapa di Kampung Tendong namun memandangkan petang semalam jalan sudah mula ditutup, menyebabkan saya terpaksa menetap di rumah orang tua di Tendong sekaligus memudahkan untuk bekerja.

"Malam tadi isteri menyenaraikan barangan yang diperlukan dan hari ini saya mengambil cuti untuk ke pasar dan datang menyerahkan barangan yang dipesan untuk kegunaannya dan keluarga mentua.

"Agak sedih kerana walau dapat berjumpa tapi dihalang dengan sekatan dan kami tak dapat bayangkan bagaimana situasi 1 Syawal nanti kerana tidak dapat beraya bersama walaupun tinggal berhampiran," katanya.

Tinjauan yang dibuat di Jalan Bunut Susu hari ini mendapati keadaan lengang berbanding hari biasa yang mana kawasan sekitar itu sebelum ini menjadi lokasi tumpuan penduduk disebabkan terdapat banyak premis kedai runcit serta gerai makanan.

Pemilik kedai runcit, Siti Salliana Ibrahim, 33, berkata keadaan lengang itu agak janggal memandangkan premisnya yang menjual pelbagai barangan termasuk lauk mentah, sayur dan buah sentiasa dipenuhi pengunjung.

"Ada penduduk yang menghubungi kami meminta dihantar bekalan makanan yang dipesan sehingga kawasan yang disekat dan mereka akan datang mengambil.

"Kami akan mempertimbangkan permintaan itu asalkan tidak melanggar peraturan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 7:02 PM