KEADAAN di Pekan Rabu yang lengang dan kurang dikunjungi pelanggan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjelang Aidilfitri ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
KEADAAN di Pekan Rabu yang lengang dan kurang dikunjungi pelanggan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjelang Aidilfitri ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Suasana Pekan Rabu, di sini, bertukar sepi apabila kurang pelanggan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini bagi mengekang penularan Covid-19 sejak 1 Mei lalu.

Tinjauan mendapati kawasan perniagaan itu yang sebelum ini sibuk menerima kehadiran pengunjung kini lengang sekali gus mengakibatkan peniaga turut terkesan.

Peniaga bahulu Fatimah Harin, 53, berkata dia terpaksa mencari alternatif untuk menjual produk berkenaan termasuk dihantar ke Kuala Lumpur, Perak, Selangor, Putrajaya dan Johor.

Katanya, sebelum ini kebanyakan pelanggannya pulang dari perantauan akan membeli bahulu yang diusahakannya sejak 15 tahun lalu setiap kali sambutan Aidilfitri,

"Namun sejak tahun lalu, tambahan pula ada pelaksanaan PKP menyebabkan kami terpaksa menghantar bekalan kuih ini melalui perkhidmatan bas ekspres untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Kalau yang dekat, pelanggan datang sendiri ke sini tapi sejak PKP dilaksanakan lagi, ramai yang tak dapat datang terutama dari daerah lain," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Peniaga songkok dan sampin, Solehah Mohd Saad, 49, berkata kehadiran pelanggan amat berkurangan jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum negara dilanda pandemik Covid-19.

Menurutnya, dia berdepan kesukaran dalam berniaga disebabkan pelanggan tidak dapat merentas daerah bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

"Nak jual secara dalam talian memang boleh, tapi pelanggan lebih berpuas hati kalau tengok sendiri bentuk, corak dan warna sampin atau telekung yang dijual di sini.

"Namun, kami akur pada perintah kerajaan untuk mengelak penularan Covid-19 dan berharap pelanggan yang tinggal di daerah Kota Setar ini dapat datang untuk membeli," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 7:21 PM