Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) masih menunggu arahan kerajaan negeri sama ada operasi bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri diteruskan atau sebaliknya susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah di Selangor bermula esok.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, MBSA sudah bersiap sedia dengan apa juga keputusan yang akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri yang dijangka dalam masa terdekat ini.

"Apapun kita tunggu keputusan kerajaan negeri sama ada diteruskan atau tidak.

MBSA bersedia dengan sebarang kemungkinan, kita akur dan patuhi.

"Pada masa sama, MBSA memang ada menerima pertanyaan daripada peniaga-peniaga berhubung perkara ini," katanya selepas Program Kempen Keselamatan Jalan Raya kepada 300 penghantar makanan bermotosikal sempena Aidilfitri 2021 di sini, hari ini.

MOHD Rashidi (depan, tiga kanan) pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya kepada Penghantar Makanan Bermotosikal. FOTO Faiz Anuar
MOHD Rashidi (depan, tiga kanan) pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya kepada Penghantar Makanan Bermotosikal. FOTO Faiz Anuar

Mengulas lanjut katanya, dari segi penguatkuasaan, pastinya Prosedur Operasi Standard (SOP) lebih diperketatkan dalam tempoh PKP ini, terutamanya membabitkan minggu terakhir menjelang Aidilfitri.

"Setakat ini, MBSA menurunkan sejumlah 200 penguat kuasa namun penguatkuasaan dan pemantauan akan diperketatkan lagi terutamanya di pasar awam dan juga bazar Aidilfitri.

"MBSA akan mengalihkan tumpuan ke pasar awam dan bazar Aidilfitri kerana pastinya warga Shah Alam mahu membeli keperluan untuk Aidilfitri berbanding bazar Ramadan sekiranya diteruskan esok.

"Mungkin akan ada tambahan penguat kuasa tetapi fokus MBSA ke tempat tumpuan umum iaitu pasar awam dan bazar Aidilfitri malah sanitasi juga dibuat setiap hari di semua pasar awam MBSA," katanya.

Katanya, MBSA juga berpuas hati dengan tahap pematuhan peniaga dan juga pengunjung di semua lokasi bazar Ramadan setakat ini

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju enam daerah iaitu Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dilaksanakan PKP berkuat kuasa esok hingga 17 Mei, berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

TINJAUAN Bazar Ramadan PKNS di Shah Alam, 1 Mei lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal
TINJAUAN Bazar Ramadan PKNS di Shah Alam, 1 Mei lalu. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Bagaimanapun katanya, terpulang kepada kerajaan negeri masing-masing sama ada meneruskan atau tidak pengoperasian bazar berkenaan.

Mengulas mengenai program hari ini katanya, MBSA mengedarkan 300 jaket keselamatan kepada penghantar makanan dan orang awam secara percuma termasuk bahan-bahan risalah keselamatan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 11:24 AM