Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kira-kira 100 lot bazar Ramadan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) masih dibuka kepada peniaga yang berminat untuk berniaga makanan sepanjang Ramadan ini.

Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, MBSA amat mengalu-alukan peniaga yang belum mempunyai tapak untuk berniaga di bazar supaya segera membuat permohonan.

"Setakat ini, sebanyak 1,250 peniaga atau penjaja bazar Ramadan sudah dipenuhi, ini membabitkan 31 lokasi bazar Ramadan, contohnya di Seksyen 6, Sesyen 7, Seksyen 8, Seksyen 16.

"Lot yang masih dibuka tidak lebih 100, peniaga yang hendak berniaga di saat akhir masih ada ruang untuk mereka membuat permohonan untuk berniaga di bazar Ramadan nanti.

"E-bazar peringkat kerajaan negeri masih diteruskan, di mana setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), ada lokasi terpilih yang ditetapkan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Pemeriksaan Kebersihan Kenduri Premis Makanan Berlesen (i-GRED) di sini, hari ini.

MOHD Rashidi Ruslan (dua dari kiri) dan Yong Eng Kwang (dua dari kanan) menukar dokumen perjanjian persefahaman pada Program Bakul Prihatin MBSA dengan kerjasama 99 Speedmart di Wisma MBSA, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
MOHD Rashidi Ruslan (dua dari kiri) dan Yong Eng Kwang (dua dari kanan) menukar dokumen perjanjian persefahaman pada Program Bakul Prihatin MBSA dengan kerjasama 99 Speedmart di Wisma MBSA, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

Selain 31 lokasi terbabit katanya, MBSA juga membenarkan sebanyak 12 lokasi bazar Ramadan beroperasi dan diselia oleh pihak swasta seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), persatuan penduduk.

Mengulas mengenai i-GRED beliau berkata, semua pelanggan di kawasan pentadbiran MBSA boleh menilai sendiri tahap kebersihan dan keselamatan premis makanan yang dikunjungi mereka menerusi aplikasi bermula hari ini.

Katanya, selain pelanggan atau orang awam, pemeriksaan dan penilaian tahap kebersihan premis makanan ini juga dilakukan oleh pengusaha premis dan juga pegawai pemeriksa MBSA.

"Aplikasi i-GRED adalah sistem pemeriksaan kebersihan kendiri premis makanan yang mana pemilik atau pengusaha premis perlu membuat pemeriksaan dan penilaian tahap kebersihan serta keselamatan premis masing-masing.

"Pengusaha premis makanan juga perlu mendapatkan maklum balas daripada pengunjung premis melalui Aplikasi i-GRED sebagai satu kaedah pemantauan kebersihan premis makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 1:09 PM