Zaitie Satibi

Penyertaan lebih 500 orang dalam acara berbasikal kayuhan malam sempena Program 60+ ‘Earth Hour’ Shah Alam 2018 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 24 Mac lalu, adalah bukti sokongan padu masyarakat terhadap program padam lampu yang diperkenalkan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) sejak 2007 bagi meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim.

Dalam acara berbasikal itu, peserta berkayuh santai sejauh 10 kilometer (km) mengelilingi pusat bandar raya Shah Alam dengan melalui Seksyen 2, Seksyen 6, Seksyen 7 dan Seksyen 14. Acara pelepasan disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, berbasikal adalah aktiviti yang popular dan menjadi trend di Shah Alam, malah kayuhan malam itu juga kegiatan riadah yang dapat melahirkan masyarakat sihat dan cergas.

PERASMIAN Program 60+ ‘Earth Hour’ Shah Alam 2018 disempurnakan Ahmad Zaharin (tiga dari kanan).
PERASMIAN Program 60+ ‘Earth Hour’ Shah Alam 2018 disempurnakan Ahmad Zaharin (tiga dari kanan).

“Program ini adalah komitmen berterusan pihak MBSA untuk mendidik masyarakat khususnya komuniti Shah Alam supaya dapat bersama-sama mengamalkan sikap bertanggungjawab dalam memulihara keseimbangan alam sekitar dan menyokong usaha untuk menyelamatkan bumi.

“Malah, ia juga kempen yang dilaksanakan secara menyeluruh bagi memberikan kesedaran mengenai isu pemanasan global yang semakin meruncing.

“MBSA berharap program ini memupuk budaya gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti Shah Alam khususnya dan menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama menjadikan Shah Alam sebagai Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, peserta kayuhan, Zainal Md Wan, 43, berkata, acara berkenaan adalah kayuhan waktu malam pertama disertainya sejak mula aktif dalam kegiatan berbasikal tiga tahun lalu.

“Biasanya saya menyertai acara berbasikal yang dijalankan pada awal pagi, manakala aktiviti berbasikal kayuhan sendiri untuk beriadah pula dilakukan pada sebelah petang selepas waktu kerja.

“Baru kali ini saya dapat peluang untuk berkayuh malam selepas mendapat maklumat program ini menerusi hebahan dalam laman sosial MBSA. Ini adalah pengalaman baru bagi saya dan banyak perkara baru dapat dipelajari terutama teknik untuk berbasikal malam, selain dapat menambah kenalan baru,” katanya.

ANTARA 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional semalam.
ANTARA 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu FIR dan menghampiri ruang udara nasional semalam.

Seorang lagi peserta, Suhairi Abdul Aziz, 37, berkata, sebagai orang baru dalam kegiatan berbasikal, beliau banyak bergantung pada program kayuhan anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai platform untuk mengutip pengalaman sebelum menyertai acara yang lebih serius.

“Saya sokong usaha dilakukan MBSA yang kerap mengadakan acara berbasikal bagi menggalakkan masyarakat melakukan kegiatan yang sihat. Banyak maklumat mengenai penganjuran program untuk masyarakat diperoleh dalam laman sosial pihak majlis.

“Sebagai orang baru dalam aktiviti ini, saya perlu lebih kerap menyertai kayuhan santai untuk mengutip pengalaman, di samping menjalin silaturahim dengan mereka yang sudah lama dalam bidang ini sebelum terbabit dalam kejohanan lasak, “ katanya yang baru sebulan berjinak-jinak dalam sukan berbasikal.

Acara sampingan yang turut diadakan sepanjang program berlangsung adalah pertandingan mewarna yang menarik penyertaan 200 kanak-kanak. Selain itu, diadakan juga Pameran Inisiatif Hijau oleh MBSA, WWF Malaysia dan komuniti perumahan penduduk.

PESERTA kayuhan melintasi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
PESERTA kayuhan melintasi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 2:19 AM