SAZALLY (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penghuni Rumah Sejahtera, sempena Program Amal Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2020 di Pusat Jagaan Warga Emas, Rumah Sejahtera Jenjarom hari ini. FOTO BERNAMA
SAZALLY (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penghuni Rumah Sejahtera, sempena Program Amal Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2020 di Pusat Jagaan Warga Emas, Rumah Sejahtera Jenjarom hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

PENGURUSAN empat pengendali lebuh raya di Lembah Klang berharap kerajaan dapat membuat keputusan berhubung pengambilalihan laluan itu selewat-lewatnya hujung Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT), Sazally Saidi berkata, perbincangan berhubung pengambilalihan itu masih berjalan tanpa sebarang kata putus daripada kerajaan.

"Untuk proses pengambilalihan ini, perbincangan antara pemegang saham lebuh raya dan pihak kerajaan masih berjalan, namun belum ada jawapan lagi (daripada pihak kerajaan) sehingga kini.

“Kita berharap segala hasil perbincangan itu dapat dimuktamadkan penghujung Mac tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut Sabtu ini, kepada warga emas di Rumah Sejahtera, Jenjarom, di Kuala Langat, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Mohammed Shah Samin dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART), Mohd Noor Mohd Ali.

Sazally berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan pengambilalihan empat lebuh raya berkenaan iaitu KESAS, SMART, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan SPRINT, seperti yang diumumkan kerajaan tahun lalu.

Kerajaan menerusi Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sebelum ini mengemukakan tawaran pengambilalihan kepentingan empat pengendali lebuh raya itu membabitkan nilai RM6.2 bilion dalam usaha membantu meringankan beban rakyat menerusi pengurangan kadar tol.

Pengambilalihan itu membabitkan nilai RM2.47 bilion bagi LITRAK (konsesi LDP), SPRINT (RM1.984 bilion); KESAS (RM1,377 bilion) dan SMART pada nilai RM369 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 6:57 PM