GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Doktor perubatan antara enam lelaki dipercayai pengedar dadah yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Manja di sini, semalam.

Difahamkan, lelaki itu bekerja di sebuah hospital kerajaan di Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menjalankan risikan sebelum menyerbu rumah itu pada 10 malam.

"Seramai enam lelaki berusia 26 hingga 30 tahun ditahan dan pemeriksaan menemui 11 peket plastik lut sinar berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja anggaran berat 1.9 kilogram dengan nilai rampasan RM4,900.

"Turut dirampas wang tunai RM1,450 dan lima kenderaan dianggarkan bernilai RM139,500," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati lima suspek positif dadah dan kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 5 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Dalam kes berasingan, Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun disyaki mencuri motosikal Yamaha Lagenda 115Z milik seorang wanita.

Menurutnya, pada mulanya polis menerima laporan daripada wanita berusia 36 tahun itu yang mendakwa motosikalnya yang diletakkan di Taman Desa Ria di sini, hilang pada 6 April lalu.

"Bertindak atas maklumat, polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Nelayan, Sungai Besar, 11 pagi hari ini dan menahan suspek.

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan curi motosikal.

"Suspek mengaku terbabit curi motosikal dan mendakwa meninggalkan motosikal berkenaan di sebuah restoran di PJCC, Petaling Jaya," katanya.

Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah reman, esok, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 8:28 PM