GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis menahan seorang lelaki disyaki meragut telefon bimbit milik pemandu kereta yang berhenti di lampu isyarat Jalan PJS 3 di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, polis menerima laporan dibuat mangsa berusia 36 tahun itu pada 10.30 malam.

"Lelaki itu mendakwa kejadian berlaku 7.10 malam semasa keretanya berhenti di lampu isyarat. Pengadu menggunakan telefon bimbit sambil tingkap kereta terbuka dan tiba-tiba suspek yang menunggang motosikal berhenti di tepi kereta lalu meragut telefon bimbitnya sebelum melarikan diri.

"Pengadu cuba mengejar suspek namun tidak berjaya, lalu tampil membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, sepasukan polis membuat serbuan di kawasan Pusat Dagangan PJCC di sini, pada 10 pagi semalam dan menahan seorang lelaki berusia 28 tahun serta merampas telefon bimbit disyaki hasil ragut.

Menurutnya, polis turut merampas pakaian dan motosikal yang digunakan suspek semasa kejadian.

"Semakan mendapati suspek mempunyai 21 rekod lampau berkaitan curi, ragut, samun, curi kenderaan, mendatangkan kecederaan dan dadah," katanya memaklumkan, suspek kini direman enam hari sehingga 6 Jun ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 10:23 PM