Muhaamad Hafis Nawawi

Subang Jaya: Lima premis judi dalam talian di Pinggiran USJ 1/10, di sini, hari ini yang diperiksa pihak polis didapati tidak lagi beroperasi.

Pemeriksaan yang dilakukan menerusi Operasi Waran Geledah (Op Waran Geledah) turut mendapati premis terbabit sudah dikosongkan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, operasi dijalankan untuk membasmikan kegiatan perjudian dalam talian.

Menurutnya, dari Februari hingga bulan ini, sebanyak tujuh premis diserbu bagi membanteras kegiatan haram terbabit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman memeriksa premis pada operasi judi online di Pinggiran USJ. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman memeriksa premis pada operasi judi online di Pinggiran USJ. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

"Hari ini ada beberapa lokasi dikenal pasti untuk diperiksa, namun hasil pemeriksaan mendapati premis ini sudah tidak beroperasi di mana ada bekalan elektrik sudah diputuskan.

"Kebiasaannya premis perjudian ini akan beroperasi bermula 12 tengah malam dan sebab itu kita geledah semula untuk lihat masih ada peralatan untuk perjudian atau tidak," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini.

Katanya, operasi dijalankan hasil maklumat awam dan risikan dijalankan dalam memastikan kegiatan perjudian dalam talian dibanteras.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 5:41 PM