DUA premis di Jalan Pinggiran USJ, Subang Jaya yang menjalankan kegiatan judi dalam talian diserbu polis, semalam.
DUA premis di Jalan Pinggiran USJ, Subang Jaya yang menjalankan kegiatan judi dalam talian diserbu polis, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Polis membongkar kegiatan judi dalam talian menerusi serbuan Operasi Dadu (Op Dadu) di dua premis di Jalan Pinggiran USJ, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menahan 16 lelaki berusia 25 hingga 66 tahun dalam serbuan jam 11.30 malam itu.

"Siasatan mendapati tiga lelaki warga Bangladesh yang ditahan itu adalah penjaga premis manakala selebihnya 12 warga tempatan dan seorang warga Myanmar adalah pemain.

"Kami merampas 16 komputer, empat modem serta wang tunai dalam serbuan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya kedua-dua premis itu beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan hanya membenarkan pelanggan tetap sahaja masuk.

"Bagi memastikan premis itu sukar dikesan pihak berkuasa, sindiket turut memasang kamera litar tertutup.

"Kami percaya premis itu kerap berpindah-randah bagi menyukarkan kegiatan mereka dikesan polis," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 7:27 PM