Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan sedang meneliti peraturan serta badan kawal selia terhadap penunggang penghantar makanan p-hailing di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, langkah itu dilakukan bagi membela nasib dan kebajikan, kira-kira 100,000 penghantar makanan p-hailing di negara ini supaya tidak ditindas dan dianiaya.

Katanya, kerajaan sedang melihat cara-cara bagaimana untuk membuat peraturan bagi melindungi hak dan nasib penunggang penghantar makanan p-hailing.

"Perbincangan antara agensi serta kementerian sedang diadakan bagi membincangkan apa peraturan dan siapakah agensi atau badan kawal selia yang seharusnya bertanggungjawab terhadap mereka.

"Kita faham golongan ini bertungkus lumus menghantar makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa tahun lalu dan kementerian menjangkakan terdapat kira-kira 100,000 penunggang penghantar makanan p-hailing di negara ini.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

"Bagi saya, perlu ada dasar khas untuk p-hailing seperti e-hailing. Sudah sampai masanya, kita buat satu peraturan dan menetapkan siapa 'regulator' bagi membuat kawal selia dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat MCA Johor di sini, hari ini.

Terdahulu, Ka Siong yang juga Pengerusi MCA Johor dan Presiden MCA, mempengerusikan mesyuarat MCA Johor.

Sabtu lalu, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia dilaporkan menggesa syarikat penyedia perkhidmatan untuk lebih bertimbang rasa dan tidak menekan penunggang mereka untuk mencapai kualiti ditetapkan syarikat sehingga soal keselamatan terabai.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani, dilaporkan berkata campur tangan kerajaan diperlukan bagi memahami situasi dan menyelesaikan permasalahan sebenar dihadapi penunggang p-hailing terutama berkaitan sistem bekerja, prosedur operasi standard (SOP) syarikat dan kadar upah yang diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 3:10 PM