KHAIRULNIZAM (tengah) pada sidang media selepas bertemu wakil p-hailing dan e-hailing. FOTO Asyraf Hamzah.
KHAIRULNIZAM (tengah) pada sidang media selepas bertemu wakil p-hailing dan e-hailing. FOTO Asyraf Hamzah.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Satu pertemuan akan diadakan antara Menteri Pengangkutan dan wakil penghantar makanan, p-hailing dan pemandu e-hailing , Isnin depan bagi membincangkan isu yang dihadapi kumpulan ini.

Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Khazulnizam Mohamad Zuldin berkata, sesi dialog berkenaan akan diadakan pada 2.30 petang di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya.

"Saya sudah berhubung dengan Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong dan beliau bersetuju untuk mengadakan pertemuan itu.

"Kita akan pastikan semua pihak berada dalam situasi menang-menang dan suara penghantar ini turut didengar," katanya pada sidang media sempena pertemuan bersama Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia dan Grab Driver Malaysian Association (GDMA) di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Penghantar, Abdul Hakim Abdul Rani dan Timbalan Presiden GDMA, Mohd Azril Ahmat.

SEBAHAGIAN penunggang Grab Food berkumpul di uar perkarangan Ibu Pejabat Grab Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad.
SEBAHAGIAN penunggang Grab Food berkumpul di uar perkarangan Ibu Pejabat Grab Malaysia. FOTO Hazreen Mohamad.

Katanya, sesi pertemuan itu itu akan diadakan susulan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh penunggang p-hailing dan pemandu e-hailing.

"(Hari ini) Saya diarahkan oleh Perdana Menteri untuk turun berjumpa dengan rider p-hailing bagi mendengar sendiri masalah yang dihadapi mereka.

"Pada masa sama, kami juga akan membantu membawa wakil mereka bertemu Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan dalam masa terdekat bagi memastikan kebajikan mereka terbela," katanya.

Khazulnizam berkata, kerajaan sentiasa mendengar masalah yang dihadapi oleh setiap ahli Keluarga Malaysia dan pihaknya berharap sesi libat urus bersama kementerian berkaitan akan berlangsung dengan baik seperti dirancang.

Sementara itu, Abdul Hakim berkata, pihaknya berharap perjumpaan Isnin itu nanti dapat memberi pembelaan kepada pekerja p-hailing dan semua permasalahan didengar oleh kerajaan.

Semalam, media melaporkan semua penghantar p-hailing dijangka melakukan boikot dengan tidak akan beroperasi selama 24 jam hari ini sebagai tanda tidak berpuas hati dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

Mogok 'Food Delivery Blackout' oleh penghantar syarikat penghantaran makanan itu diteruskan dan kumpulan rider berkenaan bergerak secara konvoi ke Ibu Pejabat syarikat penghantaran di Petaling Jaya, Selangor, untuk menyerahkan memorandum pada jam 5 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 7:42 PM