TANGKAP layar video iklan judi raya
TANGKAP layar video iklan judi raya
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah berkomunikasi dengan pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan video yang memaparkan iklan judi raya.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, ia dilakukan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka yang berpangkalan di luar negara.

"Pada masa sama, pihak yang terbabit seperti pihak produksi dan pelakon seharusnya perlu lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian, yang jelas satu kesalahan.

"Penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terbabit dengan penghasilan dan pengedaran kandungan," katanya.

Menurutnya, dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk.

"Pengguna media sosial juga perlulah lebih bertanggungjawab dengan melaporkan perkara sebegini secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan mereka dan bukannya menyebarluaskan kandungan berkenaan.

"Perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan secara langsung hanya akan membantu pihak yang terbabit dalam menyebarkan dakyah mereka mempromosikan perjudian dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat Malaysia," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Polis siasat penerbit, pelakon iklan judi raya
  • Berita berkaitan:

  • 'Cuci semua kemudian beraya' - iklan judi sempena Aidilfitri
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 1:39 PM