RAKAMAN video kedua yang mempromosikan judi dalam talian. FOTO tular
RAKAMAN video kedua yang mempromosikan judi dalam talian. FOTO tular
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pelakon video kedua iklan lagu raya mempromosi aktiviti perjudian dibayar dengan harga RM200 oleh syarikat produksi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, ia selepas penahanan empat individu termasuk seorang wanita di Ampang semalam.

"Mereka berusia 24 hingga 32 tahun itu dipercayai berlakon dalam video kedua yang tular di media sosial semalam.

"Siasatan awal mendapati pelakon berkenaan dibayar RM200 untuk berlakon dalam video klip terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, penahanan semua individu berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana terbabit dalam sebaran video mempromosikan perjudian dalam talian.

Terdahulu, media melaporkan satu lagi video iklan lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi tular di media sosial.

Video itu tular selepas video pertama yang juga menggunakan modus operandi yang sama bagi menarik pelanggan dalam kalangan umat Islam.

Rakaman video lagu raya berkenaan memaparkan aksi lakonan serta nyanyian oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang mempromosikan satu permainan judi.

Susulan itu, polis kini sedang mengesan lelaki dipercayai menjadi dalang utama pembikinan dua video iklan lagu raya yang mempromosi kegiatan perjudian.

Lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Loh Kee Hoe beralamat terakhir di Kuala Lumpur.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 1:36 PM