Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Belum lagi reda dengan kewujudan satu video lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi semalam, terdapat satu lagi lagu raya dengan modus operandi sama dikesan tular, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan melakukan siasatan berhubung rakaman video yang berdurasi tiga minit 19 saat berkenaan.

"Kita akan siasat (rakaman video berkenaan)," katanya ringkas menerusi mesej di aplikasi WhatsApp, hari ini.

Rakaman video lagu raya berkenaan memaparkan aksi lakonan serta nyanyian oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang mempromosikan satu permainan judi.

Semalam, Harian Metro melaporkan kewujudan video lagu raya berdurasi dua minit dan satu saat yang tular di media sosial dengan memaparkan aksi lakonan, nyanyian empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita yang mana liriknya menggalakkan serta mengajak orang awam berjudi untuk mendapatkan 'duit raya'.

Video berkenaan dipercayai dikeluarkan sindiket perjudian dalam talian yang memperhebat promosi kegiatan haram itu di media sosial sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pihaknya akan mengesan pelakon dan penerbit video iklan mempromosikan judi dalam talian berkenaan.

Acryl dipetik berkata, satu laporan polis sudah dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bagi menyiasat video berkenaan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah judi terbuka.

Katanya, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan dihubungi untuk membantu siasatan.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 10:12 AM