LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lapan individu yang terbabit dalam pembikinan iklan raya mempromosikan judi dalam talian ditahan polis semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, individu yang ditahan adalah lima lelaki dan tiga wanita dipercayai pelakon, ejen artis, jurukamera, dan produser video berkenaan.

"Semua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan penggambaran video berkenaan yang diadakan di dua lokasi iaitu di Ampang dan Hulu Langat pada 13 Mac.

"Setakat ini, polis menerima 38 laporan polis yang dibuat berkaitan dengan video berkenaan susulan daripada siasatan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Polis kini sedang giat mengesan dalang di sebalik pembikinan video berkenaan.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam apa jua perjudian di negara ini. Orang ramai juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan," katanya.

Semalam, video berkenaan tular di media sosial hingga mendapat kritikan netizen.

Video berkenaan dipercayai dikeluarkan sindiket perjudian dalam talian yang memperhebat promosi kegiatan haram itu di media sosial sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam video lagu raya berdurasi dua minit dan satu saat yang tular itu memaparkan aksi lakonan, nyanyian empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita yang mana liriknya dipercayai menggalakkan serta mengajak orang awam berjudi untuk mendapatkan 'duit raya'.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 April 2021 @ 10:02 AM