Pendayung membawa pelancong daripada luar negara untuk melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.
Pendayung membawa pelancong daripada luar negara untuk melihat kelip-kelip di Kampung Kuantan, Kuala Selangor.
Yusmizal Dolah Aling


Shah Alam: Pengusaha industri pelancongan khususnya di dalam Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati akan terus dibantu bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata, rata-rata pengusaha terbabit terkesan teruk selepas tidak dapat beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Katanya, pihaknya mengambil inisiatif seperti menyediakan kursus kepada pengusaha untuk menceburi bidang lain yang bersesuaian serta bantuan asas kepada pendayung sampan.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, pelbagai bentuk bantuan persendirian sudah pun diberikan kepada mereka yang terjejas dan pihaknya lega kerana industri terbabit mula dibuka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sebelum ini ramai yang terjejas kerana mereka tidak boleh beroperasi langsung. Kawasan pelancongan di Bukit Melawati ditutup, Kelip-Kelip Kampung Kuantan pun begitu juga.

"Jadi kita aktifkan bantuan berupa pek makanan, keperluan asas dan sedikit wang tunai kepada penduduk untuk meringankan beban mereka," katanya ketika menerima kunjungan Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Che Hassan Che Johan.

Juwairiya yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor berkata, kawasan sekitar Kuala Selangor akan dibangunkan sebagai kawasan tumpuan memandangkan ia mempunyai tarikan pelancongan.

Katanya, menerusi Rancangan Kawasan Khas Bukit Melawati (RKKBM) 2025 akan menumpukan kepada menaik taraf kawasan termasuk Dataran Keris di Kuala Selangor.

"Ia dijangka menarik minat pengunjung kerana sekitar kawasan Bukit Melawati ini ramai yang mengusahakan inap desa, pelbagai jenis makanan dan destinasi pelancongan.

"Ada produk pelancongan di bawah Majlis Daerah Kuala Selangor yang kita akan naik taraf untuk merancakkan ekonomi setempat.

"Saya juga bekerjasama rapat dengan Exco Pelancongan negeri dan kita akan naik taraf kawasan dan pembangunan pelancongan seperti Kelip-Kelip, Bandar Baru Kuala Selangor, Kota Melawati, pekan lama Kuala Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 3:04 PM