ABDUL Yunus menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Aidilfitri TNB di Kampung Dew, semalam. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
ABDUL Yunus menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Aidilfitri TNB di Kampung Dew, semalam. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

KERAJAAN Perak berhasrat menaik taraf laluan masuk utama ke lokasi pelancongan Jeti Kelip-kelip Kampung Dew yang dikatakan suram dan terpencil.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, walaupun lokasinya tidak jauh dari susur keluar tol Taiping Utara Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), tidak ramai mengetahui kedudukannya kerana tiada petunjuk, selain laluan masuk suram dan tiada tarikan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan bercadang melakukan penambahbaikan di kawasan itu yang boleh menjadi daya penarik pengunjung khususnya pelancong asing.

“Seperti sedia maklum, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pernah ke sini bersama komuniti setempat dalam program menanam pokok berembang dan melepaskan benih udang galah sebagai usaha menjaga kelestarian kawasan ini.

“Jelas sekali hasrat beliau memilih kawasan ini untuk diketengahkan bukan sahaja sebagai tempat pemuliharaan kelip-kelip malah sebagai sebuah destinasi pelancongan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Aidilfitri Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama ketua komuniti dan pendayung di Pusat Pemuliharaan Kelip-kelip Kampung Dew, Taiping, semalam.

Abdul Yunus berkata, bagi memastikan kawasan itu sentiasa dan terus mendapat kunjungan ramai termasuk pelancong asing, pembangunan infrastruktur di situ harus diutamakan.

“Berikutan daya tarikannya yang kurang serta kawasan ini terpencil, kita merancang membuat satu papan tanda besar dan menarik di jalan masuk utama jeti ini.

“Selain itu, jalan masuk yang agak kecil akan diperluaskan bagi memberi kemudahan kepada pengunjung, perkara ini kami akan bincang bersama agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai infrastruktur yang dinaik taraf serta kos terbabit akan dibincangkan dengan semua pihak berkaitan terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:30 AM