LOKASI kehadiran kelip-kelip harus diketahui seluruh negara kerana memiliki keunikan tersendiri.
LOKASI kehadiran kelip-kelip harus diketahui seluruh negara kerana memiliki keunikan tersendiri.
Nurul Husna Mahmud


Kelip-kelip sangat berbeza dengan kunang-kunang walaupun kedua-dua spesies serangga ini mempunyai persamaan iaitu mengeluarkan cahaya dengan jelas tatkala malam.

Menariknya, kelip-kelip merujuk kepada serangga 'menghuni' kawasan tebing sungai yang mengalami pasang surut dan ia berkumpul dalam jumlah yang besar pada sepohon pokok.

Manakala kunang-kunang lazimnya merujuk kepada spesies serangga dengan habitat di hutan darat dan terbang secara bersendirian.

Kekayaan biodiversiti negara kita yang juga 'pemegang' reputasi hutan tertua dunia terbukti pengkaji telah menjumpai kira-kira 26 spesies serangga itu dengan lima daripadanya ialah spesies kelip-kelip.

Tidak hairanlah peminat serangga atau pencinta alam semula jadi dari serata dunia sanggup menjelajah 'port gelap-gelita' yang menjadi habitat serangga itu.

Malah pengunjung luar negara mengagumi tarikan lokasi pelancongan kelip-kelip serata Malaysia yang mempunyai keunikan tersendiri.

MENYUSURI muara Sungai Timun untuk melihat kelip-kelip.
MENYUSURI muara Sungai Timun untuk melihat kelip-kelip.

1. Kelip-kelip Sungai Timun, Rembau, Negeri Sembilan

Kepuasan menyusuri Sungai Timun sejauh dua hingga tiga kilometer semata-mata untuk melihat kelip-kelip yang 'jinak' pastinya menjadi pengalaman paling bermakna.

Seolah-olah sudah biasa dengan kehadiran orang, kelip-kelip Sungai Timun tidak tergugat dengan deruman bot.

Pastinya panorama di pesisir hutan paya muara Sungai Timun cukup mengasyikkan apabila melihat kelompok serangga itu mengeluarkan cahaya serentak di malam hari.

Pengunjung boleh memulakan kunjungan dengan menyewa bot di Jeti Sungai Timun yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Pekan Rembau.

Jika bernasib baik pengunjung tempatan akan terserempak dengan rombongan pengunjung dari luar negara yang melawat kawasan itu seperti dari Korea, China, Singapura dan Taiwan.

PANORAMA mengasyikkan melihat kelip-kelip bercahaya terang ketika malam.
PANORAMA mengasyikkan melihat kelip-kelip bercahaya terang ketika malam.

2. Kelip-kelip Kampung Dew, Kuala Sepetang, Perak

Kuala Spetang bukan sahaja tersohor dengan sajian mee udang dan panorama senja. Ia juga tumpuan kepada mereka yang menyukai kelip-kelip.

Tebing sungai sepanjang 12 kilometer yang menempatkan deretan pokok berembang menjadi habitat kepada kelip-kelip.

Malah lokasi ini turut diwartakan sebahagian kawasan Hutan Simpan Kelip-kelip yang mana bagi tujuan pemeliharaan kelip-kelip yang hidup di lokasi itu.

Pengunjung juga boleh menikmati panorama kelip-kelip bercahaya tanpa gangguan pada malam yang tiada hujan dan tidak diterangi bulan.

HABITAT kelip-kelip di pohon berembang di kampung Dew.
HABITAT kelip-kelip di pohon berembang di kampung Dew.

3. Kelip-kelip Sungai Cherating

Tidak jauh dari lokasi percutian iaitu di muara Sungai Cherating, ia menjadi lokasi untuk melihat keindahan kelip-kelip.

Pengunjung boleh menyusuri sungai sepanjang dua kilometer untuk melihat atau merakam keindahan cahaya genit si kelip-kelip di sekitar pokok paya bakau berhampiran.

Lebih bermakna pelbagai usaha badan bukan kerajaan dan pencinta alam dilakukan untuk memelihara hutan paya di sepanjang sungai Cherating dengan harapan habitat kelip-kelip terus terpelihara.

Dengan itu, ia membantu menjana pendapatan nelayan muara menerusi aktiviti pelancongan atas tarikan kewujudan habitat kelip-kelip.

4. Kelip-kelip Sungai Nanamun

Tidak hanya di Semenanjung, Sabah juga antara negeri memiliki produk pelancongan dengan mengunjungi lokasi atau habitat kelip-kelip.

Kelip-Kelip Sungai Nanamun yang terletak di Kota Belud tidak terkecuali dari menjadi lokasi ramai tumpuan pengunjung untuk melihat serangga itu dari jarak dekat.

Disarankan pengunjung untuk datang pada waktu senja untuk menikmati pemandangan indah sambil ditemani cahaya kelip-kelip.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 6:20 AM