Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Ahli perniagaan dihukum penjara 10 tahun dan dikenakan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 109 pertuduhan berkaitan penipuan serta pemalsuan dokumen kerajaan antara April hingga Disember 2015.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu terhadap N Narendran, 41, selepas tertuduh disabitkan dengan 102 pertuduhan berkaitan penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksan serta tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 471 dan 467 kanun yang sama kerana pemalsuan dokumen.

Norashima turut menetapkan hukuman berjalan serentak bagi kesemua pertuduhan bermula hari ini.

Tertuduh yang diwakili RSN Rayer kemudiannya memohon mahkamah menangguhkan hukuman penjara sementara proses rayuan dikemukakan pihaknya ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin yang mengendalikan pendakwaan pula membantah permohonan itu yang dibuat mengikut Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah atas alasan proses rayuan tidak sesuai digunakan sebagai alasan untuk menangguhkan hukuman.

Selain itu, Mohamad Nazreen turut meminta mahkamah mengambil kira jumlah kerugian bagi kes yang dilakukan oleh tertuduh serta kerumitan sepanjang proses perbicaraan yang berlangsung selama empat tahun di samping menegaskan hukuman penjara yang sedang berjalan tidak menafikan hak bagi tertuduh mengemukakan rayuan.

Narendran (tunduk) ketika dibawa keluar dari mahkamah di Ipoh hari ini. Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Narendran (tunduk) ketika dibawa keluar dari mahkamah di Ipoh hari ini. Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Bagaimanapun, hakim membenarkan penangguhan hukuman itu dengan menetapkan jumlah wang jaminan ditambah sebanyak RM30,000 lagi dan perlu dilangsaikan hari ini juga.

Sebelum ini, tertuduh sudah membayar RM55,000 untuk wang jaminannya.

Selain itu, Norashima turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 1:47 PM