Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dakwaan mencabul kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang mempunyai talian persaudaraan dengannya, Sabtu lalu.

Hakim Norita Mohd Ardani turut memerintahkan tertuduh berusia 38 tahun menjalani dua tahun tempoh pengawasan polis selepas membuat pengakuan itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa menyentuh kemaluan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun di belakang sebuah rumah di Kampung Chulek, Gopeng kira-kira jam 9 malam 25 Disember lalu.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta diletakkan dalam pengawasan polis bagi tempoh tidak kurang daripada setahun namun tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, lelaki itu yang juga bapa sepupu mangsa didapati oleh ibu mangsa, sedang memegang kemaluan kanak-kanak itu dengan pemeriksaan selanjutnya menemukan kesan warna merah pada kemaluan mangsa dipercayai kesan geseran menggunakan jari.

Fakta kes itu juga menyatakan, siasatan yang dijalankan polis mendapati mangsa dihampiri tertuduh ketika sedang bermain sebelum tertuduh menggosok kemaluan mangsa yang mana kejadian berlaku di rumah keluarga tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amanina Zulkefli dengan tertuduh tidak diwakili peguam.

TERTUDUH bagi kes cabul (berbaju merah belang putih) dan S R Alex (berbaju putih) ketika dibawa memasuki kamar Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
TERTUDUH bagi kes cabul (berbaju merah belang putih) dan S R Alex (berbaju putih) ketika dibawa memasuki kamar Mahkamah Sesyen Ipoh, di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sebelumnya, tertuduh memohon hukuman terhadapnya diringankan memandangkan dia hanya bekerja sebagai buruh kampung selain menjaga serta menanggung bapa yang sakit.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang anggota polis tentera berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merompak dua beradik wanita, 21 Disember lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, S R Alex Praba, 21, didakwa merompak Siti Zuleha Rusli, 27, dan Noor Sahfikaq Rusli, 20, yang kedua-duanya dilakukan di kawasan kebun kelapa sawit bersebelahan Jalan Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar di daerah Manjung jam 12.15 pagi.

Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan bagi setiap pertuduhan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin manakala tertuduh diwakili peguam Vivien Michelle.

Pendakwaan memohon mahkamah menetapkan wang jaminan RM10,000 terhadap tertuduh sebelum hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, mengambil kira pendapatan bulanan tertuduh selain pencari nafkah tunggal keluarganya.

Hakim turut menetapkan 31 Januari 2022 untuk sebutan semula kes serta memerintahkan supaya tertuduh tidak melakukan sebarang kacau ganggu terhadap mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 12:17 PM