Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Bekas wadar penjara dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan menyamar sebagai anggota polis sewaktu berada dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Khamis lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Zakwan Mahuri, 44, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, dia didapati menyamar sebagai anggota polis dengan mengetahui bahawa dirinya tidak memegang jawatan itu, atau dengan palsunya menyamari seseorang lain yang memegang jawatan dan boleh melakukan apa-apa perbuatan atas kuasa jawatan.

TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas kesalahan menyamar sebagai anggota polis. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
TERTUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas kesalahan menyamar sebagai anggota polis. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kesalahan dilakukan di Perkarangan Pejabat Cawangan Khas IPK Perak jam 9.50 pagi pada 18 November lalu.

Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sufi Aiman Azmi dengan tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM2,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 11:05 AM