Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Sungai Siput: Bekas banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Siput, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam pergaduhan, minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Mohd Rozaimy Amer, 30, yang baharu dibebaskan kelihatan tenang serta mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Muhammad Izar Mohammad Anuar, 22, di hadapan rumah beralamat No. 9338, Lot 10, Kampung Jalong, di sini, pada 1.30 petang, 1 September lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

MOHD Rozaimy Amer dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
MOHD Rozaimy Amer dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Sungai Siput. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Chung Hwei di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang jaminan dibenarkan dan mahkamah menetapkan 9 November depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Izar meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selepas dua hari bertarung nyawa akibat parah dipukul di kepala dan muka dengan objek dipercayai sebatang kayu dalam pergaduhan membabitkan satu lawan satu dengan tertuduh.

Menerusi laporan itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin, berkata tertuduh yang dikenali dengan julukan 'Amy' mempunyai lapan rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, selain baru dibebaskan daripada penjara kurang seminggu sebelum pergaduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 1:01 PM