Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


PENYELIA pembalakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas tiga pertuduhan iaitu memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian tiga beranak, minggu lalu.

Mohd Firdaus Hawari, 33, bagaimanapun mohon dibicarakan atas ketiga-tiga pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu pacuan empat roda di bawah pengaruh dadah di Kilometer 74, Jalan Ipoh-Gerik, 10.20 malam 19 Jun lalu hingga tidak berdaya mengawal kenderaan itu dengan sepatutnya.

Perbuatan itu menyebabkan kematian Nurul Huda Arifin, 31; Abdul Hakim Hashim, 32; dan Adib Aidan Abdul Hakim, 2.

TERTUDUH dibawa keluar dari kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
TERTUDUH dibawa keluar dari kamar perbicaraan Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga sehingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 sehingga RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam, Hazril Azam Abdul Hamid yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang minimum memandangkan anak guamnya itu menyara empat anak yang masih kecil dengan pendapatan RM2,300 sebulan, selain isteri yang tidak bekerja dan sedang mengandung.

Rohaida kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan selain menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita berkaitan:

  • Pinda hukuman pemandu mabuk, pengaruh dadah, pandu melulu
  • Atuk, nenek akan jaga cucu yatim piatu
  • Arwah Nurul Huda hamil lima bulan
  • Tiga beranak maut dalam kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 1:40 PM