FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berharap kerajaan mempertimbangkan supaya waktu operasi perniagaan sepanjang Ramadan dilanjutkan bagi membolehkan pelanggannya bersahur atau membeli juadah sahur.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, cadangan itu dibuat susulan maklum balas pelanggan yang meminta pihaknya beroperasi melebihi tengah malam seperti yang ditetapkan ketika ini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Presma akan memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi dengan sebaik mungkin (jika lanjutan dibenarkan) memandangkan negara masih lagi berdepan penularan Covid-19.

"Justeru kita ingin mengemukakan cadangan agar kelonggaran diberikan untuk restoran beroperasi mungkin sehingga awal pagi bagi membolehkan orang Islam bersahur," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Jawahar berkata, Presma juga memohon kerajaan membenarkan kemasukan pekerja asing di bawahnya kembali bekerja di sini, selepas pulang bercuti ke negara asal sebelum ini.

"Untuk rekod, restoran di negara ini berdepan masalah kekurangan pekerja, malah majikan sudah pun membayar penuh levi pekerja walaupun ada yang bekerja sekitar satu bulan dan balik ke negara asal.

"Dengan kebenaran ini, Presma berharap ia dapat membantu ekonomi domestik kerana sejak dibenarkan beroperasi baru-baru ini, sektor ini kembali pulih secara perlahan-lahan dan memerlukan jumlah pekerja yang signifikan untuk beroperasi secara optimum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 7:43 PM