MUHAMMAD SAFFUAN JAFFAR
MUHAMMAD SAFFUAN JAFFAR
Rosyahaida Abdullah

"SAYA sedang menjalani kuarantin selepas mendarat di Lapangan Terbang Miri, Sarawak, semalam. Tiada masalah dengan SOP (prosedur operasi standard) ini. Pihak sekolah juga sudah dimaklumkan dan mereka faham," kata Muhammad Saffuan Jaffar, 31.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Sharif Hamid di Marudi, Sarawak ini antara yang perlu menjalani kuarantin sebaik mendarat di negeri itu susulan SOP Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menetapkan kuarantin selama 14 hari untuk semua guru dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang kembali bertugas pada ketika ini.

Menurut Muhammad Saffuan, sebaik tiba di lapangan terbang semalam, dia terus melalui kaunter saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pemeriksaan suhu dan beberapa dokumentasi lain sejurus selesai urusan di kaunter imigresen.

Guru Matematik ini berkata, dia kemudian diiring oleh pasukan keselamatan termasuk polis untuk menaiki bas menuju ke pusat kuarantin di bandar Miri bagi menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di situ.

"Saya sudah pun melakukan 'swab test' (ujian calitan) di sebuah klinik di Pulau Pinang sebelum berlepas ke sini namun sehingga kini keputusan belum diperoleh jadi saya tidak pasti adakah saya masih perlu menjalani kuarantin ini sekiranya keputusan ujian itu (negatif) diperoleh nanti.

"Setakat ini semuanya lancar di sini. Saya tidak dibenarkan keluar langsung dari bilik (pusat kuarantin) ini dan difahamkan pada hari ke-10 nanti saya perlu menjalani ujian calitan yang dilaksanakan JPBN.

"Oleh itu, perancangan saya adalah untuk meneruskan kelas 'online' (dalam talian) buat murid saya sepanjang dikuarantin ini. Jika semuanya baik saja, selepas tamat tempoh kuarantin ini nanti, saya akan terus pulang ke Marudi untuk bantu rakan setugas di sekolah melakukan persiapan sewajarnya untuk murid," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ditanya mengenai persiapannya serta pihak sekolah jika sekolah dibenarkan dibuka dalam masa terdekat, Muhammad Saffuan berkata, dia yakin bukan hanya dirinya malah rata-rata guru lain pasti turut menanti saat itu.

Malah katanya, pihak sekolah tempat dia mengajar juga difahamkan sudah melakukan simulasi berkaitan jika sekolah kembali menerima kedatangan murid kelak.

"Sejujurnya, mengajar secara bersemuka pada saya jauh lebih berkesan untuk murid kerana kita boleh melihat dengan jelas murid yang kurang faham jadi pendekatan PDP (pengajaran dan pembelajaran) boleh disesuaikan serta-merta untuk murid berkenaan.

"Namun jika keadaan belum mengizinkan, saya sendiri tidak mahu dedahkan sesiapa termasuklah murid dengan risiko wabak ini. Sepanjang lebih tiga bulan ini, lebih 90 video saya hasilkan berkaitan pembelajaran Matematik dan saya harap ia bukan hanya dimanfaatkan murid saya saja tetapi juga murid lain yang mungkin menonton sama," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Harry Tan Huat Hock berkata, NUTP berharap pihak yang berkenaan dapat memberi kelonggaran kepada guru dari luar Sarawak yang mungkin berdepan kesukaran untuk kembali bertugas dalam kadar segera.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua penjawat awam untuk kembali bertugas pada ketika ini dan ia termasuklah guru yang berasal dari Semenanjung dan berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

"Kesemua mereka juga wajib mematuhi segala SOP yang sudah ditetapkan pihak berkuasa termasuk di Sarawak sebagai mana digariskan JPBN untuk menjalani kuarantin dan sebagainya.

"Namun, kami merayu kepada pihak yang berkenaan supaya memberi kelonggaran kepada mereka (guru) yang menghadapi kesukaran mendapatkan tiket penerbangan memandangkan jumlah penerbangan agak terhad khususnya ke bandar lebih kecil," katanya ketika dihubungi.

Susulan kenyataan dikeluarkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam, mengenai rakyat tempatan dari luar Sarawak yang ingin ke negeri itu tidak perlu memohon kebenaran daripada JPBN, JPBN tampil menegaskan guru masih perlu mengikuti SOP Sarawak.

JPBN dilaporkan berkata, guru yang kembali bertugas di Sarawak mempunyai SOP lain iaitu perlu mematuhi garis panduan ditetapkan JPBN negeri itu termasuklah menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di kediaman masing-masing bagi guru yang bertugas di bandar manakala guru di kawasan pedalaman perlu menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang ditetapkan JPBN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2020 @ 5:36 PM