Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seramai 36,700 individu memperoleh pekerjaan baharu menerusi PenjanaKerjaya 2.0 yang dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan bermula Januari lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, ia membabitkan seramai 5,538 majikan yang mendaftar dengan PenjanaKerjaya yang diwujudkan untuk mengurangkan kadar pengangguran dan memulihkan ekonomi negara.

"Saya dimaklumkan di Terengganu, seramai 182 majikan menggaji 2,224 pekerja dalam tempoh berkenaan.

"Saya yakin dan percaya bahawa ini adalah satu permulaan yang cukup baik bagi suku pertama 2021 terutama dalam usaha menstabilkan pasaran buruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan sempena Karnival PenjanaKerjaya Negeri Terengganu 2021 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Awang Hashim bercakap semasa merasmikan Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Duyong Marina Resort & Hotel.  FOTO GHAZALI KORI
Awang Hashim bercakap semasa merasmikan Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Duyong Marina Resort & Hotel. FOTO GHAZALI KORI

Karnival selama dua hari bermula hari ini menawarkan lebih 11,000 kekosongan ditawarkan membabitkan 85 majikan.

Menurut Awang, pencari kerja yang menerima tawaran kerja dalam lingkungan jarak bawah 100 kilometer (km) akan diberi bantuan mobiliti sebanyak RM500, manakala mereka yang sanggup bermastautin dengan jarak 100 km ke atas layak diberi bantuan mobiliti sebanyak RM1,000 di bawah program itu.

Katanya, insentif itu akan dibayar menerusi majikan masing-masing.

"Lebih ramai majikan dan pekerja tempatan dijangka menerima manfaat daripada program ini apabila lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan.

"Saya percaya semua inisiatif kerajaan yang dilaksanakan di bawah Kementerian Sumber Manusia mampu mengurangkan kadar pengangguran di Terengganu terutamanya golongan belia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 7:44 PM