BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 95,161 permohonan di seluruh negara berjaya memperoleh pekerjaan menerusi portal pekerjaan MYFutureJobs, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 44,940 permohonan adalah dalam lingkungan umur 20 sehingga 29 tahun termasuk siswazah.

"Bagi memudahkan siswazah mencari kerja, kerajaan mengarahkan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) melaksanakan program Karnival Penjana Kerjaya.

"Setakat 30 Oktober 2020, 229 program Karnival Penjana Kerjaya membabitkan penyertaan 541 majikan dan berjaya menempatkan 4,060 siswazah dan pencari kerja lain," katanya menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Wan Azizah ingin tahu langkah dan tindakan kerajaan dalam menangani masalah kekurangan peluang pekerjaan untuk siswazah baharu serta pekerja diberhentikan kerja akibat kemelesetan ekonomi tahun ini.

Mengulas lanjut, Awang berkata, kerajaan sedang berusaha agar pelbagai peluang pekerjaan dapat diwujud dan ditawarkan kepada siswazah baharu serta pekerja yang diberhentikan akibat kemelesetan ekonomi dan ditambah pula dengan penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pelbagai program dan inisiatif sedang dan akan dilaksanakan bagi menambah baik ekosistem tenaga bakat muda negara dan pembangunan kebolehpasaran program.

Menurutnya, antara inisiatif dan program dilaksanakan adalah Program Latihan Industri Berstruktur (SIP), Nurturing Expert Talent (NEXT), Scholarship Talent Attraction & Retention (STAR) dan Young Employable Students (YES!).

"Selain itu, dua sesi Kolaborasi Industri-Akademia (IAC) yang diadakan antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) (Medical Industry) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) (General Study).

"Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), Program Insentif Pengambilan Pekerja, Bantuan Mobiliti dan program latihan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2020 @ 1:56 PM