Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lebih 11,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena Karnival PenjanaKerjaya Terengganu 2021 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ia membabitkan 85 majikan daripada pelbagai sektor seperti minyak dan gas serta perladangan.

Beliau berkata, sektor minyak dan gas menawarkan peluang pekerjaan terbanyak iaitu 3, 998 diikuti sektor perladangan dengan 2,500 jawatan kosong.

"Pelbagai jawatan ditawarkan seperti jurutera, pengurus jualan, peguam, doktor gigi, juruteknik, eksekutif pemasaran, penyelia perusahaan, kru minyak dan gas, pembantu peribadi serta jawatan-jawatan yang ditawarkan menerusi Program MySTEP Perantis.

"Antara majikan yang menyertai karnival ini ialah Institut Jantung Negara Sdn Bhd, Paka Petroleum Sdn Bhd, SAA Engineering &Marine Sdn Bhd, Shin Etsu Polymer (M) Sdn Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Terengganu 2021 di Dewan Konvensyen Duyong Marina & Resort di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Jamil Rakon dan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mohd Nurkhuzaini berkata, karnival berkenaan adalah antara inisiatif kerajaan negeri bersama Kementerian Sumber Manusia menerusi Perkeso bertujuan mengurangkan kadar pengangguran dan seterusnya menstabilkan pasaran buruh negara.

SEBAHAGIAN pencari kerja hadir sempena Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Duyong Marina Resort & Hotel. FOTO Ghazali Kori
SEBAHAGIAN pencari kerja hadir sempena Karnival Penjana Kerjaya Negeri Terengganu di Duyong Marina Resort & Hotel. FOTO Ghazali Kori

Katanya, karnival yang dianjurkan turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya, kemudahan kaunter penyediaan resume dan pelbagai lagi perkhidmatan yang boleh dimanfaatkan.

"Saya menyeru mereka yang sedang mencari kerja memanfaatkan sepenuhnya peluang pekerjaan yang ditawarkan.

"Berdasarkan statistik Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), seramai 406 individu kehilangan pekerjaan di Terengganu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sehingga 31 Mac lalu.

"Mereka ini antara 20,016 pekerja yang kehilangan pekerjaan di seluruh negara dan akan menerima faedah kewangan SIP jika layak selain mendapat bantuan carian dan pemadanan pekerja serta lain-lain perkhidmatan pekerjaan yang berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 4:13 PM