SARAVANAN di majlis pelancaran Karnival PenjanaKerjaya dan portal MyFutureJobs di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan KSM
SARAVANAN di majlis pelancaran Karnival PenjanaKerjaya dan portal MyFutureJobs di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan KSM
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyasarkan kenaikan 20 peratus dalam jumlah penempatan pekerjaan menerusi portal perkhidmatan pekerjaan negara, MYFutureJobs, tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, sejak beroperasi Jun tahun lalu, MYFutureJobs berjaya membantu 185,493 individu memperolehi pekerjaan.

Katanya, portal pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu menawarkan 137,041 kekosongan jawatan aktif, sehingga 24 Februari 2021.

"Jumlah ini mencerminkan kesan positif pemulihan ekonomi dan KSM yakin dengan kerjasama semua pihak terbabit, bilangan peluang pekerjaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

"Malah, seramai 146,258 individu diambil bekerja oleh majikan menerusi Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) sehingga 23 Februari lalu, membabitkan 18,653 majikan.

"Sehingga kini, lebih RM354.34 juta dibayar sebagai insentif di bawah Program PenjanaKerjaya 1.0 dan 2.0," katanya di majlis perasmian Karnival PenjanaKerjaya Kebangsaan 2021 KSM dan Pelancaran Portal MyFutureJobs, secara maya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Saravanan berkata, menerusi karnival itu seramai 78 majikan mengambil bahagian dalam karnival maya ini lebih daripada 10,800 peluang pekerjaan ditawarkan.

"Bagi mereka yang berjaya mendapat kerja dan terpaksa berhijrah, di mana tempat kerja terletak 100 kilometer dan lebih dari kediaman sekarang, anda tidak perlu bimbang.

"Bantuan Mobiliti sebanyak RM1,000 akan disediakan kepada anda, manakala individu yang jarak tempat kerja kurang dari 100 kilometer, layak menerima Bantuan Mobiliti sebanyak RM500," katanya.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak RM1.5 bilion sudah diperuntukkan kepada KSM bagi merangsang pengambilan pekerja oleh majikan di samping meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pekerja melalui Program Latihan Semula.

Menurutnya, KSM menerusi Perkeso juga sudah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program bagi menjayakan PenjanaKerjaya 1.0 yang dimanfaatkan oleh hampir 16,000 majikan dan lebih 130,000 pekerja.

Sementara itu, Dr Mohammed Azman berkata, karnival yang bermula Isnin lalu sudah menerima 4,188 permohonan.

"Setakat hari ini juga, daripada 4,188 permohonan seramai 2,365 orang ditemuduga, 79 berjaya mendapat pekerjaan dan seramai 516 sedang menjalani temu duga kedua, manakala 863 pemohon gagal dan 907 masih dalam status pemerhatian (KIV)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 6:16 PM