Noorazura Abdul Rahman


Pendang: Seramai 150,000 orang yang hilang pekerjaan, graduan dan lepasan sekolah mendapat pekerjaan baharu dan ditempatkan di bawah 47,000 majikan dalam tempoh enam bulan bermula Jun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata, ia hasil inisiatif PenjanaKerjaya di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara

(Penjana) dalam mengurangkan kadang pengangguran sekali gus menstabil dan memperkukuhkan pasaran buruh.

"Sejak program ini bermula, sebanyak 12 Karnival PenjanaKerjaya berskala besar dianjurkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di mana wakil-wakil majikan hadir untuk menemuduga calon bagi mengisi kekosongan jawatan dalam perusahaan masing-masing.

"Enam daripada karnival berkenaan yang dianjurkan diadakan secara maya membabitkan 28 lokasi manakala, bagi program temuduga kecil, sebanyak 242 program dilaksana," katanya ditemui selepas merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Peringkat Kedah 2020 di Dewan Cenderawasih Majlis Daerah Pendang di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas lanjut, Awang berkata, sehingga Rabu lalu, sebanyak RM160 juta diagihkan kepada majikan yang berjaya membuat pengambilan pekerja menerusi Insentif Pengambilan Pekerja, dengan insentif itu akan diteruskan seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2021 menerusi peruntukan RM2 bilion.

Katanya, galakan lain diperkenalkan kepada majikan termasuk program latihan untuk pelatih perantisan,

Awang bertemu sebahagian individu yang hadir ke Karnival PenjanaKerjaya di Dewan Cenderawasih, Pendang hari ini. Foto Amran Hamid
Awang bertemu sebahagian individu yang hadir ke Karnival PenjanaKerjaya di Dewan Cenderawasih, Pendang hari ini. Foto Amran Hamid

"Kadar insentif pengambilan pekerja itu pula ditingkatkan 40 peratus sehingga 60 peratus daripada gaji siling RM10,000 dengan insentif maksimum sebanyak RM6,000. Ia hanya layak dipohon oleh majikan yang mengambil pekerja tempatan kerana ia adalah sebahagian daripada program 'Malaysianisation'," katanya.

Kementerian itu turut menggesa majikan supaya memanfaatkan inisiatif ditawar kerajaan terutama syarikat besar seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memiliki kedudukan kewangan stabil, demi menyokong usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 2:35 PM